DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim telah berkenan berangkat ke Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia, baru-baru ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; dan YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Chang Lih Kang.
TML yang beroperasi di bawah seliaan penuh Menteri Besar Incorporated (Perak) sejak September lalu dilengkapi peralatan berteknologi tinggi bertaraf dunia. TML menyediakan perkhidmatan analisis, pengenalpastian dan penentusahan kandungan mineral, khususnya NR-REE, menjadikannya perintis dalam bidang ini di Malaysia.
Operasi TML dikendalikan oleh 15 pakar tempatan yang merupakan graduan terlatih dari universiti tempatan, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan bakat setempat seiring usaha memacu ekonomi negeri.
Sebelum itu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut berkenan berangkat ke Central Processing Plant (CPP) secara percubaan Proof of Concept (POC) di Kawasan Perindustrian Tungzen. CPP POC telah membuktikan kejayaan awal dalam pengasingan empat kumpulan Unsur Nadir Bumi (REE) yang penting.
Hadir sama, YBhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); barisan Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua dan Pengarah Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri melalui MB Inc. Perak sebagai peneraju utama industri mineral di negeri ini, selaras dengan matlamat strategik untuk mengangkat Perak ke persada global dalam industri mineral.
Kini, pembangunan industri NR-REE telah melepasi fasa huluan dan berkembang ke peringkat pertengahan. Dengan visi yang jelas dan pendekatan progresif, Perak akan terus memacu sektor ini ke peringkat hiliran, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.