DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, hari ini.
Keberangkatan Baginda diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah; dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Sepanjang majlis tersebut, DYMM Tuanku dan DYMM Raja Permaisuri berkenan menikmati santapan sambil disajikan dengan persembahan kebudayaan India, termasuk tarian Merak, Bharathanatyam dan persembahan nyanyian tradisional.
Majlis yang dihadiri kira-kira 8,000 pengunjung ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.
Pada majlis yang sama, DYMM Tuanku turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 67 anak yatim dari lima institusi kebajikan, iaitu Pusat Perniagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Gembala Baik, Pusat Jagaan Vision Home, Pusat Jagaan Pelangi Perak dan Yayasan Amanah An-Anur Maisarah.
Sambutan yang berlangsung pada hari ini jelas mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan kaum yang utuh di negeri Perak, sekaligus membuktikan kejayaan negeri ini dalam memelihara keharmonian antara kaum yang telah terjalin sejak berabad lamanya.