Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Menteri Besar Incorporated (Perak) yang telah mencatatkan pencapaian cemerlang menerusi Pengauditan Kaedah Sustainable Development Indicator (SDI) Negeri Perak Tahun 2024 dengan memperoleh penarafan tertinggi bagi dua operasi utama daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia.
Pengiktirafan ini merangkumi penarafan tertinggi 5 bintang bagi projek perlombongan mineral lempung bebola di Mukim Trong, serta penarafan 4 bintang bagi projek pengkuarian batu kapur di Mukim Tanjung Tualang.
Bagi kategori perlombongan mineral lempung bebola yang menerima penarafan 5 bintang, pengiktirafan ini dianugerahkan kepada empat operator lantikan MB Inc. Perak iaitu Reets Star Sdn. Bhd., Maju Tanah Liat Sdn. Bhd., Asian Metal Mining Consultancy Sdn. Bhd., dan Uniteck Timah Sdn. Bhd. Manakala Jernih Perkasa Sdn. Bhd. pula telah menerima penarafan 4 bintang bagi kategori pengkuarian batu kapur.
Pencapaian membanggakan ini merupakan tanda kerjasama strategik antara MB Inc. Perak dengan operator-operator yang dilantik. Ia mencerminkan komitmen bersepadu dalam melaksanakan operasi perlombongan dan pengkuarian di kawasan Pajakan Melombong milik MB Inc. Perak secara bertanggungjawab, sejajar dengan agenda Perlombongan Bertanggungjawab seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.