Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mencatat pencapaian cemerlang dalam Majlis Penyampaian Sijil Penarafan Bintang Pengauditan Menggunakan Kaedah Sustainable Development Indicator (SDI) Bagi Tahun 2024 Negeri Perak oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kanan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Bahagian Perkhidmatan Teknikal, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Zukni bin Ahmad Khalil; Pengarah JMG Perak, Tuan Haji Nizarulikram Abdul Rahim; Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Encik Haziq Faris bin Aris; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta barisan Ketua Agensi dan Jabatan Negeri.
Program berimpak tinggi ini bertujuan untuk memartabatkan dan memperkasakan industri perlombongan dan pengkuarian di negeri Perak, sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan industri yang mampan dan bertanggungjawab.
Dalam majlis tersebut, MB Inc. Perak telah meraih kejayaan membanggakan dengan memperoleh penarafan 5 bintang bagi operasi perlombongan mineral lempung bebola di Mukim Trong. MB Inc. Perak turut menerima penarafan 4 bintang melalui operator lantikan, Jernih Perkasa Sdn. Bhd. bagi operasi pengkuarian batu kapur di Mukim Tanjung Tualang.
Secara keseluruhannya, audit tahun ini melibatkan 35 buah syarikat lombong dan kuari di seluruh negeri Perak. Hasil audit menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan lebih 50 peratus syarikat berjaya mencapai penarafan 4 dan 5 bintang berbanding audit yang dijalankan pada tahun 2022 dan 2023.
Pencapaian cemerlang ini membuktikan komitmen berterusan MB Inc. Perak dalam memastikan operasi perlombongan dan pengkuarian yang mampan, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negeri Perak.