Gabenor Wilayah Yala, Tuan Ampon Pongsuwan bersama delegasi telah mengadakan lawatan rasmi ke Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5), hari ini.
Sepanjang lawatan tersebut, rombongan delegasi diberi taklimat komprehensif mengenai sejarah Kapal Korek TT5 dan inisiatif transformasi yang digerakkan oleh MB Inc. Perak dalam menjadikan bekas tapak perlombongan ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Delegasi turut dibawa melawat ke TT5 Maze Park dan Taman Inspirasi Alam Semulajadi, ESCAPE Ipoh yang baharu sahaja dilancarkan pada Februari lalu. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian program kunjungan hormat dua hari Gabenor Wilayah Yala ke negeri Perak bermula 18 November 2024.
Rombongan delegasi diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Cik Nurmalis Musa; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Cik Nur Ashqrun Samsuri; Encik Shaharin Zainon, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta pegawai-pegawai dari Tourism Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan MB Inc. Perak.
Malaysia dan Thailand memiliki perkaitan sejarah yang erat dalam industri perlombongan bijih timah. Lawatan strategik ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, sekaligus menjadi pemangkin dalam membentuk kerjasama baharu bagi memacu pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan.