DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tahun 2024 di Balairung Seri Istana Iskandariah.
Turut mengiringi keberangkatan ialah Kerabat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Istiadat pada hari ini merupakan sebahagian daripada penganugerahan kepada 213 penerima darjah kebesaran dan pingat bersempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku pada tahun ini.
Dalam majlis tersebut, DYMM Tuanku telah berkenan mengurniakan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (A.C.M.) kepada 14 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (A.M.P.) kepada 41 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.) kepada 59 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) kepada 29 penerima, dan Pingat Lama Perkhidmatan (P.L.P.) kepada 10 penerima.
Antara penerima anugerah ialah atlet sepak takraw negeri Perak yang juga pegawai MB Inc. Perak, Encik Meor Mohamad Zulfikar bin Mat Amin. Beliau dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) atas sumbangannya mengharumkan nama Perak dalam arena sukan tanah air.
Penganugerahan ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan bakti yang telah dicurahkan, malah menjadi amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab demi kejayaan berterusan negeri Perak.