DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Larian Sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak yang berlangsung di Dataran Pavilion Kuala Kangsar, hari ini.
Keberangkatan Baginda diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, YBhg. Dato’ Anuar Zainal Abidin; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
DYMM Tuanku berkenan merasmikan acara dengan melepaskan peserta bagi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan iaitu 15KM, 10KM dan 7KM. Baginda kemudiannya turut berkenan menyertai larian bersama rakyat yang bermula seawal jam 7 pagi, mencerminkan semangat kebersamaan antara raja dan rakyat.
Acara kali ini telah mencatatkan penyertaan memberangsangkan seramai lebih 12,000 peserta dari segenap lapisan masyarakat. Para peserta hadir dengan pelbagai gaya pakaian yang kreatif sambil menikmati aktiviti-aktiviti sampingan yang mengetengahkan keunikan warisan budaya negeri sepanjang program berlangsung.
Seusai acara larian, DYMM Tuanku dan DYMM Permaisuri Perak dipersilakan menyaksikan persembahan pancaragam oleh pelajar-pelajar Malay College Kuala Kangsar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, diikuti dengan demonstrasi profesional oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Penganjuran acara larian ini bukan sahaja berjaya mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah telah memperkukuhkan hubungan istimewa antara institusi diraja dengan rakyat. Kejayaan penganjuran ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kesihatan dan sukan di negeri Perak pada masa hadapan.