DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Istana Iskandariah, hari ini.
Turut mengiringi keberangkatan ialah Kerabat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan; YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Majlis penuh istiadat tersebut dimulakan dengan ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak Raja-Raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan diikuti dengan ucapan tahniah dan taat setia oleh YAB Menteri Besar Perak mewakili kerajaan dan rakyat; serta Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
Majlis diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Duli oleh Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, diikuti dengan pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Perak kepada 59 penerima yang terpilih. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, mendahului senarai penerima dengan pengurniaan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato' Seri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, YBhg. Dato' Anuar Zainal Abidin menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) yang membawa gelaran Dato', manakala Pengurus Besar Kanan MB Inc. Perak, Encik Kamarulariffin bin Ayub dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (P.M.P.).
Semoga penganugerahan ini bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan terhadap jasa dan bakti yang telah dicurahkan, malah menjadi amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Perak.