Menteri Besar Incorporated (Perak), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, telah menyertai Majlis Penyerahan Sumbangan Program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) 2024 yang telah berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, baru-baru ini.
Program bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan GLC berkaitan dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar, di samping membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan nutrisi anak-anak mereka.
Majlis yang penuh bermakna ini menyaksikan penyerahan sumbangan MB Inc. Perak yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad. Turut menyumbang dalam majlis ini ialah empat GLC utama lain iaitu Lembaga Air Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.
Untuk makluman, dana keseluruhan Bantuan Makanan Percuma TCS pada tahun ini telah meningkat kepada RM3.42 juta berbanding RM2.67 juta pada tahun sebelumnya. Peningkatan ketara ini dijangka akan memanfaatkan seramai 27,432 pelajar, merangkumi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan pelajar Kolej Vokasional di seluruh Negeri Perak.
Melangkah ke hadapan, MB Inc. Perak yakin usaha murni yang dilaksanakan pada hari ini akan membuahkan hasil yang memberangsangkan pada masa hadapan. Kejayaan dalam melahirkan generasi berilmu pasti akan memacu pembangunan negeri ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.