Prihatin terhadap peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian, Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengambil inisiatif proaktif untuk melindungi warga kerjanya dengan menganjurkan sesi taklimat kesedaran bahayanya penipuan dalam talian (scammer) di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, baru-baru ini.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ipoh, ASP Mohd Farhan Jamion. Sepanjang sesi tersebut, beliau telah berkongsi maklumat penting termasuk pengenalan kepada kategori scammer, langkah-langkah pencegahan serta impaknya terhadap individu, masyarakat dan negara.
Sesi taklimat itu juga turut dihadiri oleh Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat MB Inc. Perak, Encik Rizam Abd Rani, bersama-sama barisan pegawai Sumber Manusia dan Pentadbiran, serta warga kerja MB Inc. Perak.
MB Inc. Perak berharap sesi taklimat ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan semua warga kerjanya untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka, terutamanya ketika melakukan sebarang transaksi dalam talian.