Sempena sambutan kemeriahan Sukan Hari Negara 2024, Menteri Besar Incorporated (Perak) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak di Padang Bola Sepak Taman Dr. Seenivasagam, baru-baru ini.
Perlawanan yang sarat dengan semangat kesukanan ini bukan sahaja mempamerkan kebolehan dan ketangkasan para pemain, malah menjadi lambang perpaduan dan kerjasama antara pelbagai agensi Kerajaan Negeri.
Turut menyertai perlawanan persahabatan tersebut ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Tuan Zulkefli bin Abdullah; Encik Rizam Abd Rani, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta wakil-wakil warga kerja kedua-dua agensi berkenaan.
Acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan, memupuk semangat kesukanan, dan menyemarakkan rasa patriotisme dalam kalangan penjawat awam negeri Perak.
MB Inc. Perak berharap agar semangat kesukanan dan perpaduan yang ditonjolkan dalam perlawanan persahabatan ini akan terus berkekalan dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa hadapan.