Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Dewan Belia Perak dari Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, baru-baru ini.
Kunjungan ini berfungsi sebagai platform strategik untuk membina jalinan kerjasama dua hala antara Dewan Belia Perak dan MB Inc. Perak.
Delegasi yang diketuai oleh Encik Mohamad Haiqal Hakimi Mohamad Zulkepli, Ketua Jawatankuasa tersebut, disambut mesra oleh Puan Zaharatul Nazihah Azizul, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Semasa pertemuan, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang produktif mengenai perkembangan serta perkongsian terkini belia di negeri Perak. Perbincangan ini bertujuan untuk menyokong pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri yang mensasarkan golongan belia di negeri ini.
Sebelum ini, MB Inc. Perak telah menyumbang tajaan berupa baju-T dan pakaian korporat kepada Dewan Belia Perak bagi membantu meningkatkan penampilan profesional mereka.
Berpandangan ke masa depan, MB Inc. Perak berharap agar Dewan Belia Perak dapat terus melakar kejayaan melalui modul perancangan yang mantap, demi memacu potensi belia di negeri Perak.