Sekitar Majlis Perasmian Penutupan Program Perak Sejahtera 2030 Summit x Pemikir Darul Ridzuan yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, baru-baru ini menandakan satu lagi tonggak penting dalam usaha merealisasikan visi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Program yang sarat makna ini merangkumi beberapa segmen utama, termasuk Perak Sejatera 2030 Stakeholders Networking Session 2024 dan Majlis Penghargaan Pemikir Darul Ridzuan. Kedua-dua segmen ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelbagai pihak berkepentingan yang telah menyumbang secara signifikan dalam menjayakan Agenda Perak Sejahtera 2030.
Turut hadir ialah Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Mohd Khalid; Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan.
Kemuncak majlis ditandai dengan pelancaran tiga buah buku daripada Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030. Penerbitan ini merupakan langkah proaktif dalam menyebarluaskan maklumat dan pengetahuan berkaitan inisiatif pembangunan negeri kepada khalayak yang lebih luas.
Kejayaan majlis ini bukan sekadar meraikan pencapaian semasa, malah menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam merealisasikan visi Pelan Perak Sejahtera 2030. Ia membuktikan kesungguhan dan iltizam tinggi Kerajaan Negeri serta semua pihak berkepentingan dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri Perak terus terpelihara dan dipertingkatkan.