Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Perak Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 telah berlangsung baru-baru ini sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap atlet yang telah mencatatkan prestasi cemerlang di pentas sukan kebangsaan pada kali ini.
Dalam Temasya SUKMA XXI Sarawak 2024, negeri Perak telah merealisasikan sasaran kecemerlangan dengan meraih 35 pingat emas, 38 pingat perak, dan 56 pingat gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan pungutan sebanyak 129 pingat.
Kontinjen Para SUKMA Perak turut mengukir kejayaan membanggakan dengan membawa pulang 25 pingat emas, 22 pingat perak, dan 20 pingat gangsa, sekaligus melonjakkan kedudukan negeri Perak ke lima terbaik secara keseluruhan.
Turut hadir ialah, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Mohd Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Chef De Mission, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Chef De Mission, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.
MB Inc. Perak, selaku Agensi Angkat Sukan Sepaktakraw dan Muay Thai Perak, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada barisan atlet atas kejayaan cemerlang yang telah ditonjolkan. Kejayaan ini mencerminkan dedikasi dan kegigihan atlet Perak dalam mengejar kecemerlangan dalam bidang sukan yang diceburi.
Kejayaan kontinjen Perak dalam Temasya SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 merupakan pencapaian yang membanggakan. Ia menjadi sumber inspirasi kepada semua pihak untuk terus memartabatkan sukan di negeri ini, sekaligus mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.