Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima penganugerahan Anugerah Integriti SPRM Negeri Perak bagi Kategori Sektor Swasta Tahun 2024 dalam Majlis Jalinan Kerjasama Strategik sempena Sambutan Ulang Tahun SPRM yang ke-57, hari ini.
Penganugerahan ini diberikan bagi mengiktiraf komitmen syarikat yang mengamalkan tadbir urus yang telus serta berwibawa. Ia merupakan pengiktirafan dalam usaha berterusan MB Inc. Perak yang mengamalkan integriti tinggi dan ketelusan dalam setiap operasi dan pentadbirannya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah SPRM Negeri Perak merangkap Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia, YBhg. Dato' Ahmad Sabri bin Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan pegawai kanan daripada pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri.
Antara pengisian program yang mencuri tumpuan ialah sesi bicara integriti yang disampaikan sendiri oleh YBhg. Dato' Ahmad Sabri bin Mohamed, yang telah memberikan input dan panduan yang bernas kepada para peserta tentang kepentingan menjunjung integriti dalam segenap aspek kehidupan.
Majlis yang sarat dengan kebermaknaan ini bermatlamat untuk memantapkan jalinan kerjasama antara kedua-dua organisasi dalam usaha membanteras wabak rasuah yang berleluasa di negeri Perak. Ia juga bertujuan untuk meraih sokongan dan kerjasama yang jitu daripada rakyat bagi menangani isu rasuah dengan lebih berkesan dan menyeluruh.