YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, telah mengadakan perbincangan yang ringkas tetapi produktif bersama YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke negeri Perak.
Perbincangan ini memfokuskan pada pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan negeri Perak ke arah kemakmuran yang lebih tinggi.
Salah satu topik utama yang diberi perhatian khusus dalam perbincangan tersebut ialah perkembangan terkini dan hala tuju projek perlombongan Rare Earth Elements (REE) di peringkat huluan dan pertengahan di negeri Perak. Projek REE ini dilihat sebagai satu peluang ekonomi yang berpotensi tinggi untuk memacu pertumbuhan negeri dan negara.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azri bin Abu Bakar; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahimi; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin.
Dalam perbincangan tersebut, YAB Perdana Menteri turut menekankan kepentingan strategik bagi Malaysia untuk menambah nilai kepada sumber mineral tempatan. Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini lebih bermanfaat berbanding dengan mengeksport bahan mentah secara terus.
Perbincangan ini merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama erat dalam usaha merealisasikan potensi penuh pembangunan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak dan Malaysia secara keseluruhannya.