Seusai Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE), YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad melakukan lawatan ke makmal analisis TML.
TML dilengkapi dengan peralatan saintifik berteknologi tinggi, termasuk Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Fluorescence (WDXRF), dan Micro X-Ray Fluorescence (Micro-XRF). Kemudahan canggih ini membolehkan analisis mineral yang dilakukan dengan tepat dan menyeluruh, sekaligus meletakkan Perak sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan dan pembangunan mineral.
Semasa lawatan tersebut, YAB Menteri Besar menerima taklimat terperinci daripada pasukan pakar yang terdiri daripada 15 tenaga kerja tempatan, merangkumi Ahlia Kimia Kanan, Ahlia Kimia, dan Penolong Pegawai Kimia. Gabungan kepakaran ini menghimpunkan individu berpengalaman dalam analisis mineral dan graduan universiti tempatan yang terlatih, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan bakat tempatan.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Puan Halizah binti Sipun; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di Peringkat Persekutuan dan Negeri.
Penubuhan TML merupakan langkah strategik yang sejajar dengan Pelan Perak Sejahtera 2030. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju industri mineral negara, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
Dengan adanya kemudahan dan kepakaran yang disediakan di TML, Perak kini berada pada kedudukan yang strategik untuk memajukan industri mineral negara dan membawa manfaat ekonomi kepada rakyat negeri ini.