Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Incorporated (Perak) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri mineral negara dengan pelancaran rasmi Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) dan Pusat Penyelidikan Mineral (Centre of Excellence for Mineral Research, CoE) yang telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, hari ini.
Pelancaran bersejarah ini menandakan lembaran baharu dalam pembangunan industri mineral negara dengan penubuhan TML, sebuah makmal komersial analisis pertama seumpamanya di Malaysia. TML mempunyai keupayaan unggul untuk menganalisis, mengenal pasti, dan menentusahkan kandungan mineral, khususnya unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE). Kemudahan ini bakal menjadi mercu tanda kemajuan teknologi mineral negara.
TML yang dilengkapi dengan peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf antarabangsa, disasarkan untuk menjadi Makmal Utama Negara bagi perkhidmatan analisis mineral. Skop perkhidmatannya tidak hanya terhad kepada negeri Perak, malah turut diperluaskan kepada pelbagai pihak berkepentingan industri dari seluruh negara, sekaligus meletakkan Perak di peta global industri mineral.
Seiring dengan penubuhan TML, pada majlis yang sama, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad turut merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) sebagai sebahagian daripada strategi memperkasa agenda Perlombongan Bertanggungjawab. Kerjasama strategik yang dijalinkan dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan universiti-universiti tempatan terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan memastikan anak-anak Perak mendapat peluang untuk terlibat dalam penyelidikan bertaraf dunia.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Puan Halizah binti Sipun; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di Peringkat Persekutuan dan Negeri.
Pelancaran rasmi TML dan CoE ini merupakan langkah strategik MB Inc. Perak dalam merealisasikan agenda Perlombongan Bertanggungjawab seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030. Inisiatif berimpak tinggi ini dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mengukuhkan kedudukan negeri Perak sebagai peneraju utama industri NR-REE di Malaysia.
MB Inc. Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri (JMG) Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Majlis Daerah Kampar, serta agensi-agensi Kerajaan Negeri berkaitan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas sokongan berterusan dan kerjasama dalam menjayakan penubuhan makmal komersial analisis pertama seumpamanya di Malaysi