YB Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu & Warisan, Datuk Haji Borhan Aman Shah, telah mengadakan lawatan kerja ke Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5), hari ini.
Lawatan yang dianjurkan oleh Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada YB Datuk Haji Borhan dan delegasi mengenai usaha-usaha Menteri Besar Incorporated (Perak) dalam memelihara dan memulihara warisan sejarah Kapal Korek TT5.
Turut mengiringi rombongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Puan Rozzana Rahmat; Penolong Pengarah UPEN-Seksyen Sektoral, Puan Syahnaz Khairiul Anwar; Encik Shaharin Zainon, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta pegawai-pegawai dari Majlis Perbandaran Sepang dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Selangor.
Kapal Korek TT5 kini menjadi rujukan utama dalam usaha memulihara Kapal Korek Sri Banting, yang bakal dibangunkan sebagai pusat pelancongan. Selain itu, lawatan ini juga menjadi platform untuk membentuk kerangka pelan strategik bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO terhadap kedua-dua kapal korek terakhir ini.
MB Inc. Perak yakin bahawa dengan kerjasama semua pihak, warisan kapal korek dapat dimartabatkan semula sebagai simbol kegemilangan industri perlombongan bijih timah di Malaysia, sekaligus menjadi sumber rujukan berharga buat generasi akan datang.