Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan sesi perjumpaan dan penilaian prestasi bagi pelajar Program Perak Corporate Leadership Apprentice Scheme (CLAS) MB Inc. Perak, baru-baru ini.
Sesi tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkaitan prestasi pelajar Program CLAS MB Inc. Perak sepanjang mereka menjalani program latihan industri dan program sangkutan bersama MB Inc. Perak.
Turut hadir ialah Encik Rizam Abd Rani selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan wakil Pegawai Penyelaras dan Sumber Manusia & Pentadbiran MB Inc. Perak.
Sebahagian daripada pelajar telah berjaya melengkapkan program latihan industri bersama MB Inc. Perak selama 10 minggu yang bermula Julai 2024. Sepanjang tempoh tersebut, para pelajar ditempatkan di jabatan berkaitan di beberapa anak syarikat milik MB Inc. Perak dan mendapat bimbingan daripada Pegawai Penyelaras masing-masing. Ini bertujuan memastikan para pelajar berada di landasan yang tepat dalam mengaplikasikan pembelajaran akademik serta sebagai persediaan awal mengadaptasi cara kerja sebenar dilapangan.
Hasil daripada Program CLAS MB Inc. Perak, seramai empat (4) orang pelajar program tersebut yang akan menamatkan pengajian tahun hadapan akan dilantik sebagai "Management Trainee" di MB Inc. Perak.
Sejajar dengan matlamat program, MB Inc. Perak berharap dapat melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berkualiti tinggi, dilengkapi dengan pengetahuan akademik, kemahiran kepimpinan, serta memiliki sahsiah yang terpuji demi memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih optimum dan lestari.