Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (Terra Lab), yang bakal dirasmikan pada Oktober akan datang, giat mempertingkatkan kepakaran melalui lawatan kerja dan latihan komprehensif mengendalikan instrumen analisis di Pusat Latihan Peralatan Bruker, Jerman, baru-baru ini.
Latihan intensif selama tiga hari tersebut memfokuskan kepada pengendalian instrumen analisis Micro X-ray Fluorescence (Micro XRF), salah satu instrumen analisis utama yang digunakan bagi pengkhususan komposisi elemen, analisis mineralogi, pemetaan elemen, pengesahan dan kawalan kualiti mineral dalam aktiviti carigali, serta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Lawatan kerja yang diketuai oleh Pegawai Kimia Kanan Terra Lab, ChM. Noorhafizah Hasanudin, telah diberi penerangan menyeluruh mengenai beberapa aspek penting, antaranya aplikasi instrumen Micro XRF, penyelenggaraan instrumen, dan kuantifikasi data.
Selain pemindahan teknologi instrumen, lawatan kerja ini turut memperlihatkan usaha dalam membantu Terra Lab berkaitan pembangunan metodologi serta peningkatan ketepatan data analisis. Di samping itu, ia memberi pendedahan terhadap pelbagai sampel mineral dan kemampuan menyeluruh instrumen, melampaui skop penganalisian mineral semata-mata.
MB Inc. Perak berharap lawatan kerja seumpama ini mampu membuka jalur potensi untuk sebarang kolaborasi dan menjadi platform perkongsian maklumat, terutamanya berkaitan bidang teknikal. Semoga usaha ini menjadi pemangkin dalam meningkatkan kompetensi tenaga pakar sedia ada, selaras dengan visi Terra Lab untuk menjadi Makmal Utama Negara bagi analisis mineral komersial.