Sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2024 (MAHA 2024), YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah meluangkan masa untuk melawat reruai pameran Batik Perak di Pavilion Negeri Perak. Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali serta barisan Ex-Officio Kerajaan Negeri.
Semasa lawatan, YAB Menteri Besar Perak telah diberi pendedahan mendalam mengenai keunikan Batik Perak. Fokus utama pameran adalah motif ikonik Bunga Kelumpang, yang bukan sahaja melambangkan flora emblematik negeri Perak, malah menjadi tunjang identiti dalam reka bentuk Batik Perak.
Inovasi tempatan yang ditonjolkan semasa lawatan ini ialah penggunaan tanah liat sebagai medium penghalang warna dalam proses pembuatan batik. Teknik ini bukan sahaja membezakan Batik Perak daripada batik-batik lain di pasaran, malah menyerlahkan komitmen negeri terhadap amalan lestari dan mesra alam. Penggunaan tanah liat ini membuktikan keupayaan Perak untuk mengintegrasikan sumber semula jadi tempatan dalam penghasilan produk bernilai tinggi.
Signifikan dengan kedudukan Perak sebagai pengeluar utama tanah liat (ball clay) di Malaysia, MB Inc. Perak melalui anak syarikatnya, Amanjaya Natural Resources Sdn. Bhd., telah melaksanakan pengeluaran tanah liat secara bertanggungjawab sejak Julai 2012. Penggunaan kaedah ini adalah sejajar dengan usaha yang telah dilaksanakan oleh MB Inc. Perak dalam mengangkat Bunga Kelumpang sebagai bunga dan motif negeri bagi Batik Perak. Selain mengetengahkan identiti negeri, pendekatan ini turut menggalakkan penggunaan sumber semula jadi secara mampan.
Usaha memartabatkan Batik Perak ini dijangka memberi impak besar kepada industri kraftangan negeri, menjana peluang ekonomi baharu, serta memperkasakan pengiat seni batik tempatan. Ia juga bakal menjadi pemangkin dalam menarik minat generasi muda untuk mendalami dan menghargai seni warisan ini. Kerajaan Negeri Perak komited untuk terus menyokong dan memajukan industri batik tempatan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik pada masa hadapan.