Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menyertai Festival "Taste of Malaysia" yang berlangsung di Hanoi, Vietnam baru-baru ini. Festival ini telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Sosialis Vietnam, YBhg. Dato' Tan Yang Thai, dalam usaha memperkasakan dan mempromosikan pengenalan budaya dan adat resam Malaysia.
Festival yang berlangsung selama seminggu ini merupakan acara kebudayaan yang dirangka khas oleh Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Hanoi. Ia bertujuan memperkenalkan kepelbagaian seni, warisan, budaya, dan makanan Malaysia, termasuk peragaan Batik Malaysia serta Festival Makanan di beberapa hotel terpilih di bandar Hanoi. Pegawai kanan Kerajaan Vietnam, kor diplomatik, dan pemegang taruh penting Malaysia turut dijemput hadir dalam program ini.
Penyertaan MB Inc. Perak dalam festival ini merupakan peluang keemasan untuk mengetengahkan hasil kraftangan tersohor negeri Perak, iaitu batik. Ia juga menjadi platform untuk menjalinkan hubungan dua hala antara pengusaha batik Perak dan pihak berkepentingan di Vietnam. Melalui pameran dan demonstrasi teknik pembuatan batik yang dijalankan sepanjang festival, para pengunjung berpeluang menyaksikan kehalusan dan ketelitian proses penghasilan batik Perak yang unik serta menghayati nilai estetika yang terkandung di dalamnya.
Selain mempamerkan pelbagai koleksi Batik Perak, MB Inc. Perak turut mengadakan sesi perkongsian ilmu berkaitan inovasi dan pembangunan industri batik bersama komuniti setempat dan pengiat seni di Hanoi. Melalui perkongsian sebegini, MB Inc. Perak berharap dapat meneroka peluang kerjasama strategik dengan rakan niaga dari Vietnam demi mengembangkan lagi industri batik di kedua-dua negara pada masa hadapan.
Minggu Kesenian, Warisan, Kebudayaan dan Makanan Malaysia edisi Hanoi ini pastinya menjadi titik tolak kepada usaha memartabatkan warisan seni Batik Perak di persada dunia. MB Inc. Perak akan terus komited dalam meneroka prospek baharu bagi memperkasakan industri batik negeri demi manfaat bersama.