Menteri Besar Incorporated (Perak), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, dan Majlis Daerah Lenggong telah menjalinkan kerjasama strategik dengan menganjurkan Program Membudayakan Integriti dan Antirasuah yang berlangsung di Lenggong, Perak, baru-baru ini.
Program dua hari tersebut dilengkapi dengan pelbagai aktiviti berilmiah yang bertujuan mendidik para peserta tentang kepentingan nilai integriti bukan sahaja terhadap pembangunan negara, malah dalam kehidupan bermasyarakat. Turut diketengahkan dalam aturcara program adalah perkara berkaitan amalan rasuah agar para peserta sentiasa peka akan kemungkinan perkara ini berlaku serta kesannya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas kepada YAB Adun Kota Tampan, YBrs. Encik Mohd Razli Ahmad; Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, YBrs. Tuan Mohd Amzari Mohd Arzami; Encik Rizam Abd Rani, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; barisan pegawai SPRM Negeri Perak; dan wakil-wakil jabatan Kerajaan Negeri.
Sejurus selepas majlis, tetamu jemputan dan para peserta telah ke lokasi papan iklan Penyiaran Mesej Integriti dan Antirasuah yang berinisiatif memperluas radius kesedaran kepada masyarakat. Papan iklan ini terletak di kawasan tumpuan ramai di sekitar Dataran Tasik Raban.
Usaha menentang rasuah dan memperkasa integriti merupakan tanggungjawab yang perlu digalas oleh pelbagai pihak dalam menggapai matlamat Perak bebas rasuah menjelang 2030. Adalah diharapkan agar mesej program ini membawa impak yang holistik kepada semua pihak yang terlibat.