Menteri Besar Incorporated (Perak) telah dijemput untuk menghadiri Majlis Makan Malam Amal "Taste of Traditions Gala" yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Industri Kreatif, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Cawangan Perak.
Majlis yang berlangsung di Palong Hall, Grand Kampar Hotel baru-baru ini mempunyai objektif untuk meraikan kepelbagaian warisan budaya Malaysia. Di samping itu, majlis ini turut mengambil peluang untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada “Beautiful Gate Educational Centre for Disabled Kampar,” sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Kampus TAR UMT, Dr. Joanne Yim Sau; Puan Zaharatul Nazihah Azizul, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan wakil pengurusan daripada Tourism Perak.
MB Inc. Perak amat menghargai komitmen yang dipamerkan oleh pihak fakulti melalui para pelajarnya dalam memupuk semangat perpaduan, selain membentuk generasi masa hadapan yang peka terhadap kehidupan bermasyarakat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur. Semoga majlis ini membawa maksud yang signifikan, terutamanya kepada para pelajar, serta menjadi medium dalam mengukuhkan hubungan baik dua hala antara MB Inc. Perak dan TAR UMT.