Program Membudayakan Integriti dan Antirasuah, anjuran Menteri Besar Incorporated (Perak) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak dan Majlis Daerah Lenggong, telah berlangsung di Amazing Camp Legasi, Lenggong, baru-baru ini.
Program ini merupakan manifestasi tanggungjawab dalam kalangan pihak berkuasa, penjawat awam, dan syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk menerapkan nilai integriti dan antirasuah. Ia juga berperanan sebagai medium dalam mencapai matlamat bersama ke arah menjadikan Perak sebuah negeri bebas rasuah menjelang tahun 2030.
Turut serta dalam program tersebut ialah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Jabatan Imigresen Negeri Perak, dan Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Perak.
Aktiviti seperti Bicara Integriti dan Membina Sasiah Diri menghiasi program dua hari tersebut, selain Ceramah Amanat Integriti dan Antirasuah yang disampaikan oleh Pengarah SPRM Negeri Perak.
Adalah diharapkan bahawa langkah proaktif sebegini mampu mengukuhkan nilai integriti dan seterusnya membasmi rasuah, terutamanya dalam kalangan penjawat awam, agar pentadbiran negara dapat terus melancarkan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.