Sekitar sesi lawatan dan penggambaran Cabaran Tiktok Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2024 telah berlangsung di Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5) bersama Duta ITM 2024, baru-baru ini.
Kapal Korek TT5 dipilih sebagai lokasi penggambaran acara ini kerana ia merupakan salah satu warisan bersejarah industri perlombongan bijih timah negara. Pemilihan lokasi ini selaras dengan fokus utama kempen ITM 2024 untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang kaya dengan seni budaya, warisan, alam semulajadi dan gaya hidup.
Kempen ITM 2024 yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 30 September 2024 ini juga menyokong Tahun Melawat Perak 2024. Hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Encik Nizran Noordin; Duta ITM 2024, Cik Wan Sharmila Wan Muhamed; dan Pengurus Pengurusan Pelancongan MB Inc. Perak, Encik Shaharin Zainon.
Pihak MB Inc. Perak merakamkan penghargaan atas usaha ITC dalam mempromosikan Kapal Korek TT5 sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim. Diharapkan inisiatif sebegini dapat memacu pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan Malaysia, terutama di negeri Perak, serta menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.