YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, telah meluangkan masa bersama Kontinjen SUKMA Negeri Perak dalam satu majlis makan malam di Dewan Makan Perkampungan Atlet SUKMA Perak, UNIMAS, baru-baru ini.
Majlis ini bukan sekadar perjumpaan biasa, malahan merupakan platform strategik untuk YAB Menteri Besar menyampaikan amanat dan mendengar aspirasi para atlet secara langsung. Tujuan utamanya adalah untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada para atlet negeri Perak agar terus menggembleng tenaga dan usaha dalam SUKMA XXI Sarawak 2024.
Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Mohd Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Chef De Mission, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Chef De Mission, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin.
Interaksi mesra antara pemimpin dan atlet telah mewujudkan suasana kondusif bagi perkongsian pengalaman dan harapan, sekaligus mengukuhkan ikatan antara Kerajaan Negeri dan komuniti sukan Perak.
Diharapkan majlis ini telah meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja sebagai pembakar semangat para atlet menghadapi cabaran SUKMA, tetapi juga sebagai lambang komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan arena sukan negeri ke tahap yang lebih tinggi.