Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 telah berlangsung dengan Sarawak terpilih sebagai tuan rumah bagi edisi 2024. Sebanyak 37 jenis sukan dipertandingkan dalam 488 acara.
Menjadi tumpuan dalam SUKMA XXI Sarawak 2024 ialah acara sepak takraw yang menyaksikan pasukan Perak membuka tirai pertandingan menentang pasukan Melaka dan Pulau Pinang.
Dalam perlawanan pembukaan, pasukan wanita Perak berjaya menewaskan pasukan Pulau Pinang dengan keputusan 2-1. Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan lelaki apabila tewas kepada pasukan Melaka dengan keputusan 1-2.
Turut hadir memberi sokongan mewakili Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku Agensi Angkat Sukan Sepak Takraw Perak ialah Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Strategik MB Inc. Perak, Ts. Haji Zul Helmi Ghazali.
Pasukan sepak takraw negeri Perak diwakili oleh 14 pemain lelaki dan 11 pemain wanita yang akan berjuang di SUKMA XXI Sarawak 2024.
MB Inc. Perak menyuntik semangat juang kepada pasukan negeri Perak. Semoga mereka terus mengecap kemenangan dan mengharumkan nama Perak dengan membawa pulang pingat emas.