Menteri Besar Incorporated (Perak) bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Perak telah dijemput memberikan satu taklimat khas kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, baru-baru ini.
Fokus utama pembentangan adalah berkenaan cadangan untuk mengangkat motif bunga kelumpang sebagai identiti rasmi batik Perak. Bunga kelumpang, yang memiliki signifikan sejarah dan budaya kepada negeri Perak, bakal menjadi tunjang dalam membangunkan identiti batik yang unik dan mudah dikenali.
Selain itu, satu inovasi baharu dalam proses pembuatan batik turut diperkenalkan, iaitu penggunaan tanah liat yang terdapat di Trong, Perak sebagai bahan penghalang warna. Kaedah ini bukan sahaja menawarkan pendekatan yang lebih lestari dan mesra alam, malah berpotensi menghasilkan corak dan tekstur yang tersendiri, sekaligus membezakan batik Perak daripada batik-batik lain di pasaran.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Pengurusan PKKM Perak dan MB Inc. Perak.
Inisiatif ini adalah langkah strategik untuk memperkasakan industri kraftangan negeri, khususnya dalam sektor batik. Ia bukan sahaja akan mewujudkan peluang ekonomi baharu, tetapi juga akan memelihara dan mempromosikan warisan budaya Perak ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Diharapkan melalui inisiatif ini, industri batik tempatan akan mendapat nafas baharu, menarik minat generasi muda terhadap seni kraftangan tradisional, serta meningkatkan daya saing negeri Perak dalam industri tekstil di Malaysia.