Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima jemputan khas untuk mengadakan lawatan teknikal ke Pusat Pembuatan dan Latihan Peralatan Bruker di Karlsruhe dan Berlin, Jerman. Lawatan strategik ini merupakan langkah proaktif dalam mengukuhkan kedudukan negeri Perak sebagai peneraju industri Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.
Fokus utama lawatan ini adalah untuk memperoleh pemahaman menyeluruh tentang operasi dan keupayaan peralatan teras dalam analisis NR-REE dan mineral-mineral lain di makmal Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) yang dijangka mula beroperasi pada September tahun ini. Selain instrumen utama tersebut, penggunaan peralatan lain juga diketengahkan kepada kesemua yang hadir bagi persiapan perkembangan analisis-analisis lain pada masa hadapan di makmal TML.
Lawatan teknikal ini memberi peluang kepada pengurusan MB Inc. Perak dan kakitangan TML untuk mendalami mekanisme pengoperasian peralatan dalam meningkatkan kecekapan dan ketepatan analisis di makmal kelak.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; barisan pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan wakil warga kerja TML.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MB Inc. Perak dalam memajukan industri NR-REE negeri, selaras dengan visi untuk menjadikan negeri Perak sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang ini. Melalui usaha ini, Perak bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri NR-REE, tetapi juga meletakkan asas untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inovatif.
Lawatan teknikal ini membuktikan kesungguhan MB Inc. Perak dalam memacu kemajuan teknologi dan kepakaran dalam industri NR-REE, sekaligus membuka lembaran baharu dalam sejarah pembangunan ekonomi negeri Perak.