Sempena program Lawatan Saintifik Pengurusan Sisa Radioaktif oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Pihak Berkuasa Tempatan Thailand, Office of Atoms for Peace (OAP) Thailand telah mengadakan lawatan ke Tapak Repositori, Mukim Belanja, baru-baru ini.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pihak OAP mengenai amalan terbaik pengurusan sisa bahan radioaktif di Malaysia yang dikawal selia oleh MB Inc. Perak.
Sebagai badan penguatkuasa yang mengawal selia aktiviti tenaga atom di Thailand, OAP dapat memperoleh manfaat daripada lawatan ini yang merangkumi aspek komprehensif pengurusan sisa bahan radioaktif. Fokus utama diberikan kepada aspek Keselamatan (Safety) dan Sekuriti (Security) serta Perlindungan Fizikal (Security and Physical Protection).
Sebelum dibenarkan masuk ke tapak repositori, semua peserta menerima taklimat dan orientasi keselamatan menyeluruh daripada Penolong Pengurus Amanjaya Global Sdn. Bhd. merangkap Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) MB Inc. Perak, Ts. Muhammad Amirul Md Noor. Langkah ini memastikan keselamatan dan kefahaman peserta terhadap protokol yang perlu dipatuhi semasa lawatan tersebut.
Lawatan saintifik ini menunjukkan komitmen MB Inc. Perak dalam berkongsi kepakaran dan amalan terbaik pengurusan sisa bahan radioaktif di peringkat serantau dan antarabangsa. Ia juga mengukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia dan Thailand dalam bidang tenaga atom, selaras dengan usaha meningkatkan keselamatan dan kecekapan pengurusan sisa radioaktif di rantau ASEAN.
MB Inc. Perak berharap lawatan ini dapat memberi impak positif kepada OAP, membolehkan mereka mengadaptasi amalan terbaik yang dipraktikkan di Malaysia untuk dilaksanakan di Thailand. Inisiatif sebegini bukan sahaja meningkatkan standard pengurusan sisa radioaktif di peringkat serantau, malah turut menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan sejagat.