Menteri Besar Incorporated (Perak) baru-baru ini telah mengadakan lawatan pemantauan ke Pusat Latihan Muay Thai Perak bagi meninjau persediaan awal pasukan Muay Thai negeri menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.
Dalam lawatan itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Strategik MB Inc. Perak, Ts. Haji Zul Helmi bin Ghazali telah diberi taklimat komprehensif mengenai program latihan intensif yang sedang dijalankan dan berpeluang menyaksikan sesi latihan yang mempamerkan ketangkasan serta ketahanan para atlet Muay Thai Perak.
Lawatan ini memperlihatkan komitmen tinggi MB Inc. Perak selaku Agensi Angkat bagi sukan Muay Thai dalam SUKMA 2024 di Kuching pada Ogos ini dalam memastikan kecemerlangan prestasi atlet-atlet Perak. Ia juga mencerminkan pendekatan proaktif MB Inc. dalam memperkasa pembangunan sukan tempur di negeri ini.
Selain itu, lawatan tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai keperluan tambahan pasukan, termasuk peralatan latihan terkini dan program pemakanan khusus untuk mengoptimumkan prestasi atlet.
MB Inc. Perak beriltizam untuk terus memantau perkembangan pasukan dan memberikan sokongan berterusan demi memastikan kejayaan kontinjen Perak dalam mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA 2024.
Selamat berjuang dan selamat maju jaya kepada Pasukan SUKMA Muay Thai Perak ! Semoga impian pingat emas dapat direalisasikan dan terus mengharumkan nama negeri Perak.