YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah mempengerusikan perbincangan strategik mengenai Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelan Guna Tanah Daerah Bagan Datuk di Bilik Mesyuarat Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.
Antara agenda mesyuarat ini tertumpu kepada hala tuju pembangunan projek Bagan Datuk International Fishery Industrial Park yang bakal dibangunkan di atas tanah seluas 316 ekar milik MB Inc. Perak. Projek transformatif ini merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dan berpotensi meletakkan Bagan Datuk sebagai hab perikanan antarabangsa yang unggul.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) JPM, YBhg. Datuk Abdul Halim bin Hamzah; Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, YBhg. Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak, YBhg. Dato’ Fariz bin Mohamad Hanip; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan wakil pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
YAB Timbalan Perdana Menteri turut menekankan kepentingan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan projek berimpak tinggi ini. Hal ini menandakan komitmen jitu kerajaan dalam memajukan kawasan luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Menerusi perbincangan ini, diharapkan pertumbuhan ekonomi dapat dipacu dan taraf hidup tempatan dapat ditingkatkan. Langkah ini seterusnya akan mengubah landskap sosioekonomi daerah Bagan Datuk dan merealisasikan potensinya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di rantau utara Semenanjung Malaysia.