Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Thailand Selatan dalam satu pertemuan untuk menjalin kerjasama dalam industri pembangunan mineral di negeri Perak, hari ini.
Kunjungan hormat yang diadakan di Ibu Pejabat MB Inc. Perak bertujuan untuk membincangkan potensi kolaborasi dalam meneroka dan membangunkan sumber mineral antara negeri Perak dan Thailand Selatan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; Ahli Dewan Rakyat Thailand Selatan, Dr. Worawit Baru; Prof. Dr. Ibrahim dari Universiti Prince of Songkla; serta barisan delegasi Thailand Selatan dan Pengurusan Kanan MB Inc. Perak.
Kunjungan ini merupakan manifestasi hasrat awal Ahli Parlimen Thailand, Tuan Abdulayee Samang, untuk mengadakan perbincangan yang lebih terperinci bersama MB Inc. Perak mengenai pembangunan sumber mineral dan perkara-perkara berkepentingan lain melalui perkongsian kepakaran yang akan membawa manfaat bersama.
Pertemuan delegasi ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha MB Inc. Perak untuk menjalin kerjasama antarabangsa bagi memajukan sektor mineral negeri. Ia juga mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap potensi dan daya saing Perak di arena global.
Diharapkan hasil perbincangan tersebut dapat memberikan impak holistik, khususnya ke arah menjayakan agenda Perlombongan Bertanggungjawab di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, sekaligus membawa limpahan manfaat terhadap kesejahteraan rakyat negeri Perak.