Sesi kunjungan hormat oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia, TYT Danielle Heinecke kepada YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Tuan Loh Sze Yee telah diadakan di Bangunan Perak Techno Trade Centre, Bandar Meru Raya, Ipoh, baru-baru ini.
Pertemuan ini merupakan kesinambungan daripada perjumpaan terdahulu bersama YB Menteri Besar Perak, mencerminkan hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua negara.
Hadir sama, Setiausaha Kedua Suruhjaya Tinggi Australia, Puan Gabriela Brand; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Tuan Mohamad Hashim bin Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Cik Nurmalis Musa; Pengurus Besar Amanjaya Natural Resources, Encik Mohd Ridzuan bin Marsidi; serta barisan Pengurusan Kanan MB Inc. Perak, InvestPerak, dan NCER.
Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan dan idea inovatif untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan hubungan dua hala.
Perbincangan mendalam telah dijalankan dengan tumpuan khusus diberikan kepada potensi kerjasama dalam sektor-sektor utama yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi mapan.
Antara bidang yang menjadi fokus utama ialah industri Pembangunan Mineral, Pembuatan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta Pelancongan yang berpotensi meningkatkan daya saing industri tempatan di peringkat global.
Sesi kunjungan hormat ini telah memperlihatkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka dan mengembangkan peluang kerjasama yang membawa impak positif signifikan terhadap pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.