Dalam usaha melakar hala tuju pembangunan industri Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Perak, satu sesi perbincangan telah diadakan antara YB Menteri Ekonomi, Tuan Rafizi Ramli, dan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, hari ini.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha strategik untuk mengembangkan sektor ini sehingga ke peringkat industri hiliran, satu langkah yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Pendekatan ini bukan sahaja akan meningkatkan nilai tambah dalam rantaian bekalan NR-REE, tetapi juga akan memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai hab utama dalam industri strategik ini di peringkat serantau dan global.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin.
Melalui perbincangan tersebut, Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Perak beriltizam untuk mempererat kerjasama bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif ini, sekaligus memacu negara ke arah kemakmuran ekonomi yang lebih mampan.