Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran telah menganjurkan satu taklimat berkaitan ‘Isu Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ yang disampaikan oleh Penasihat Undang-Undang Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Tuan Mohamad Husaini Hussein.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat MB Inc. Perak, Encik Rizam Abd Rani; Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc. Perak, Puan Nurul Zafirah Zakaria; serta 60 orang warga kerja MB Inc. Perak.
Taklimat ini merangkumi pelbagai aspek, termasuk pemahaman mengenai gangguan seksual di tempat kerja, faktor-faktor penyumbang, jenis-jenis gangguan seksual, cara-cara menangani, serta perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan dan swasta dalam usaha menangani isu tersebut.
Sebagai majikan yang bertanggungjawab, MB Inc. Perak memandang serius isu gangguan seksual di tempat kerja, yang juga merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia. Justeru, taklimat ini merupakan inisiatif untuk mewujudkan kesedaran dan memberikan pendidikan kepada warga kerjanya. Ia bertujuan agar mereka lebih peka dan dapat mengambil tindakan awal dalam menangani isu tersebut sekiranya berlaku.
Diharapkan pendedahan seperti ini dapat menghapuskan budaya menormalisasikan gangguan seksual, demi menjamin persekitaran tempat kerja yang selamat, harmoni, dan sejahtera.