Sekitar program pertukaran pelajar antara Kota Medan, Indonesia dan Bandar Raya Ipoh, Malaysia, satu rombongan yang terdiri daripada 50 pelajar dari kedua-dua bandar telah mengunjungi Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5), baru-baru ini.
Lawatan bersejarah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan warisan perlombongan bijih timah negara kepada generasi muda dari kedua-dua bandar tersebut.
Turut hadir ialah Pengurus Pengurusan Pelancongan MB Inc. Perak, Encik Shaharin Zainon; wakil-wakil Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG); serta wakil-wakil pelajar dari Kota Medan, Indonesia dan Bandar Raya Ipoh.
Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar diberi peluang untuk menyelami sejarah industri perlombongan bijih timah di Malaysia secara mendalam. Mereka diperkenalkan kepada teknologi dan kaedah perlombongan yang digunakan pada zaman tersebut, serta diberi penerangan terperinci mengenai fungsi dan operasi Kapal Korek TT5.
Program sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar dari kedua-dua bandar untuk mendalami sejarah bersama, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan budaya antara Medan dan Ipoh, sekaligus menyumbang kepada persefahaman yang lebih erat antara kedua-dua negara.
Diharapkan program ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama pendidikan dan kebudayaan antara Kota Medan, Indonesia dan Bandar Raya Ipoh pada masa hadapan. Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memupuk semangat perpaduan serantau dan pemahaman silang budaya dalam kalangan generasi muda.