Menyedari kepentingan menyediakan tempat kerja yang kondusif, Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Unit Sumber Manusia dan Pentadbiran telah mengadakan satu taklimat pengenalan garis panduan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, hari ini.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Puan Nor Husna Idris, yang juga merupakan Champion EKSA.
EKSA merupakan penjenamaan semula program 5S yang telah lama diamalkan di negara ini. Pelaksanaan EKSA merangkumi segenap ruang tempat kerja, dari sekecil ruang meja kerja hingga ke kawasan parkir, bertujuan mewujudkan persekitaran yang bersih, kemas, selamat dan kondusif. Ini sekaligus menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kerja, perkhidmatan dan produktiviti warga kerja.
Hadir sama ialah Ts. Haji Zul Helmi bin Ghazali, Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat Strategik MB Inc. Perak; bersama barisan warga kerja MB Inc. Perak.
Dalam sesi yang sama, turut dimaklumkan kriteria penilaian EKSA yang merangkumi enam komponen, terdiri daripada keperluan utama pelaksanaan, ruang tempat kerja, tempat umum, keselamatan persekitaran, kawasan persekitaran fasiliti dan tempat khusus (umum). Kriteria ini perlu dipenuhi bagi melayakkan sesebuah organisasi dianugerahkan sijil CEMERLANG EKSA.
Diharapkan pelaksanaan EKSA akan menjadi budaya baharu di MB Inc. Perak dalam usaha menambah baik ruang kerja ke arah yang lebih kondusif dan menawarkan kelestarian kepada warga kerjanya.