Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan kunjungan hormat ke Bahagian Integriti & Pemantauan Standard (Integriti) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, baru-baru ini.
Kunjungan ini bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan membincangkan langkah-langkah peningkatan kerjasama dalam memelihara keselamatan serta kesejahteraan masyarakat negeri Perak.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat MB Inc. Perak, Encik Rizam Abd Rani; dan Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat Strategik MB Inc. Perak, Ts. Haji Zul Helmi Ghazali, yang telah disambut mesra oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, YDH ACP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad; Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi), Supt. Mohamad Sajidan Abdul Sukor; dan Timbalan Ketua Polis Daerah (Kepolisan Am), Supt. Muhd Akmal Hizam Hj Abd Khupur.
Semasa kunjungan tersebut, turut diadakan majlis penyerahan sumbangan berupa khemah, set kerusi dan meja bagi kegunaan Surau Al-Muttaqin IPD Ipoh. Sumbangan ini bertujuan meningkatkan keselesaan warga polis, kakitangan IPD Ipoh serta penduduk sekitar dalam menunaikan ibadah dan menganjurkan program-program keagamaan di surau berkenaan.
Pada masa yang sama, pihak PDRM turut menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan MB Inc. Perak dalam melaksanakan ceramah kesedaran tentang penipuan dalam talian dan jenayah siber, kerjasama masyarakat dengan pihak polis, serta isu-isu lain yang berkepentingan.
MB Inc. Perak turut memberikan komitmen untuk terus menyokong inisiatif-inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri Perak, khususnya dalam aspek kesejahteraan petugas barisan hadapan.