Sekitar Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan sebagai EXCO, Jabatan, dan Agensi Angkat sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, hari ini.
Majlis ini bertujuan menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan para atlet, penggiat sukan, dan persatuan sukan di negeri Perak atas perkhidmatan dan kepimpinan mereka ke arah memajukan sukan negeri dalam menghadapi temasya SUKMA XXI Sarawak 2024.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Chef De Mission Kontinjen Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Chef De Mission Kontinjen Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Tuan Khairudin bin Abu Hanipah; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Pengurus Besar Kanan MB Inc. Perak, Encik Kamarulariffin bin Ayub; serta barisan Ketua Agensi dan Jabatan Negeri.
Rasional pelantikan ini juga adalah untuk memantau proses sebelum dan selepas temasya SUKMA bagi membantu bahagian pengurusan sukan serta sekretariat SUKMA menambah baik operasi dan menguruskan organisasi sukan dengan cekap dan berkesan.
Untuk makluman, seramai 9 orang EXCO, 11 orang Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negeri Perak, dan 5 orang Wakil Agensi dilantik untuk membantu urusan persediaan kontinjen SUKMA Negeri Perak. Manakala, MB Inc. Perak dilantik sebagai Agensi Angkat bagi sukan Muay Thai, Bola Sepak, dan Sepak Takraw.
Semoga dengan pelantikan ini, negeri Perak akan terus menerajui arena sukan negara dan bakal mencetuskan fenomena kejayaan yang baharu pada Temasya SUKMA akan datang.