Sekitar Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, Daerah Manjung, baru-baru ini.
Semasa pembentangan, YAB Dato' Seri Saarani turut menyentuh mengenai pembangunan Terra Mineral Lab (TML), anak syarikat MB Inc. Perak yang berkeupayaan untuk menganalisis, mengenalpasti, dan menentusahkan kandungan elemen mineral khususnya sumber mineral NR-REE.
Makmal ini berkemampuan untuk mewujudkan pangkalan data rujukan bagi Kerajaan Negeri dan mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada makmal luar negara yang dijangka akan beroperasi pada bulan September tahun ini, sekaligus menjadikan negeri Perak sebagai hab industri mineral di rantau ini.
Beliau turut mengulas bahawa penubuhan TML adalah susulan daripada kejayaan Projek Perintis Perlombongan NR-REE yang merupakan cabang ekonomi baharu yang memberi sumbangan signifikan kepada pendapatan negeri dengan nilai royalti hampir RM29.73 juta.
Hadir sama, YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Puan Haliza binti Sipun; Pengurus Besar Kanan MB Inc. Perak, Encik Kamarulariffin bin Ayub; serta barisan Ketua dan Pengarah Agensi / Jabatan Negeri.
Selain itu semasa sesi pembentangan tersebut, YAB Dato' Seri Saarani turut mengumumkan penambahan tiga agenda baharu di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti, serta Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan. Selain itu, beliau turut melancarkan dashboard Perak Sejahtera 2030 dan penerbitan buku Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 yang memperincikan 234 projek berimpak tinggi yang dilaksanakan melalui pembangunan strategik tersebut.
Seusai sesi pembentangan, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad turut berkesempatan melawat setiap reruai pameran Agenda Perak Sejahtera 2030 yang melibatkan beberapa agensi Kerajaan Negeri, termasuk reruai pameran MB Inc. Perak bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang memperlihatkan keseluruhan proses dan gerak kerja di bawah Agenda Perlombongan Bertanggungjawab.
Semoga Pelan Perak Sejahtera 2030 terus terlaksana dengan jayanya melalui rancangan projek berimpak tinggi dan memenuhi kesemua sembilan agenda yang ditetapkan bagi mencapai tiga sasaran, iaitu Sejahtera Politik, Sejahtera Ekonomi, dan Sejahtera Sosial demi mewujudkan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera.