Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kerja oleh Jabatan Audit Negara (JAN) yang diketuai oleh Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Wan Suraya Wan Mohd Radzi, ke Tapak Repositori, Mukim Belanja, baru-baru ini.
Lawatan kerja audit ini merupakan sebahagian daripada proses pengauditan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Perak. Ia juga merupakan lawatan fizikal berkenaan gerak kerja dan cara pengurusan tapak repositori serta kaedah pemantauan semasa yang dijalankan.
Delegasi lawatan terlebih dahulu dibawa ke Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum dan seterusnya ke Tapak Repositori, Mukim Belanja, yang diketuai oleh Pengurus Kanan Amanjaya Global Sdn. Bhd. (AG), Ts. Haji Zul Helmi Ghazali.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Audit Negara (Pengurusan), YBhg. Datuk Nor Salwani Muhammad; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains Teknologi & Inovasi, Puan Ruziah Haji Shafei; Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia, Puan Hajah Noraishah Pungut; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Puan Haliza binti Sipun; Pengarah Jabatan Audit Negeri Perak, Puan Selwah Haji Said; serta barisan Agensi / Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Semasa lawatan itu, bacaan sinaran turut diambil menggunakan peralatan meter tinjau yang menunjukkan bahawa tahap sinaran berada pada paras minimum dan di bawah paras kawalan tindakan perundangan. Ini membuktikan bahawa kemudahan tapak pelupusan itu sendiri bersama langkah-langkah keselamatan yang diambil adalah berkesan dan mematuhi piawaian tertinggi dalam memastikan keselamatan radiologi di Tapak Repositori tersebut terjamin dan tidak mendatangkan risiko kepada orang awam, pekerja serta penduduk alam sekitar
MB Inc. Perak sentiasa komited dalam menyampaikan perkongsian amalan tatakelola terbaik dalam pemantauan tapak pelupusan radioaktif semasa tempoh pemantauan dan selepas siap pelupusan yang dikenali sebagai Tempoh Kawalan Institusi (Institutional Control (IC) Period), sekaligus menjadi penanda aras cemerlang kepada industri pelupusan sisa radioaktif di Malaysia.