Sesi kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia, TYT Danielle Heinecke ke atas YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, hari ini.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengadakan perbincangan yang konstruktif mengenai pelbagai isu berkepentingan yang berkaitan dengan memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Australia dan negeri Perak.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Tuan Loh Sze Yee; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Puan Haliza binti Sipun; YBhg. Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Fariz bin Mohamad Hanip; Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Perak; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin.
Dalam pada itu, kedua-dua belah pihak turut menggariskan tentang kepentingan kesinambungan kerjasama yang erat dalam pelbagai industri mencakupi Pembangunan Mineral, Pembuatan, TVET, Pendidikan, Pelancongan dan lain-lain bidang yang dapat menyumbang kepada ekonomi negeri.
Sesi kunjungan hormat tersebut bukan hanya mengetengahkan perkara-perkara penting tetapi juga menunjukkan keazaman kedua-dua negara untuk terus memperkukuhkan dan memperluaskan rantaian kerjasama yang kukuh pada masa hadapan.