Suasana penuh kegembiraan serta kemesraan tampak di wajah setiap warga kerja GLC negeri Perak pada Majlis Riang Ria Aidilfitri 2024 GLC Negeri Perak bersama YAB Menteri Besar Perak yang telah diadakan di Laman Seri Ridzuan, Ipoh, baru-baru ini.
Sambutan tahun ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang utuh, terpancar melalui setiap sentuhan keceriaan oleh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri serta warga kerja dari setiap GLC negeri Perak.
Kehadiran YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad memeriahkan lagi suasana majlis, menunjukkan sokongan serta penghargaan beliau terhadap peranan penting setiap GLC negeri Perak dalam mengekalkan dan memperkasakan pembangunan serta kesejahteraan rakyat negeri Perak khususnya.
Hadir sama, YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Polis Perak, YDH CP Dato’ Sri Mohd Yusri bin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; barisan Ketua dan Pengarah Jabatan Negeri dan persekutuan; serta seluruh warga kerja GLC negeri Perak dan keluarga.
Pada majlis sama, YAB Menteri Besar Perak turut menyampaikan cenderahati penghargaan kepada setiap GLC negeri Perak, duit raya kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak yang hadir, serta kemudian mengambil kesempatan untuk menyantuni rumah-rumah raya GLC negeri Perak dengan hidangan tradisional yang kaya akan kebudayaan dan warisan tempatan.
Majlis tersebut tidak hanya sekadar sambutan perayaan semata-mata, tetapi juga merupakan satu momentum penting dalam mengukuhkan hubungan akrab yang telah terjalin di antara seluruh warga kerja GLC negeri Perak dan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri demi kemajuan bersama.
Semoga semangat perpaduan serta kebersamaan ini akan terus berkekalan, menerangi perjalanan pembangunan negeri Perak menuju kegemilangan dalam menjayakan seluruh agenda di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.