DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang telah berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Ipoh, hari ini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Ketibaan baginda telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad serta YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Hadir sama, YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Hari Hutan Antarabangsa disambut pada setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya dengan tema sambutan pada tahun ini adalah Hutan dan Inovasi yang menekankan terhadap kepentingan inovasi dalam sektor perhutanan.
Pada majlis sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan mencemar duli menyiram pokok cerupu (Garnicia Prainiana) sebagai simbolik perasmian sambutan pada tahun ini, yang merupakan sejenis pokok seakan-akan pokok manggis yang tumbuh dengan banyak cabang dan merimbun.
Kemudian, DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan menyerahkan Sijil Pengurusan Hutan Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) untuk Pengurusan Hutan Mampan (SFM) kepada Pengarah Perhutanan Negeri Perak yang membuktikan pengurusan sumber hutan di Perak berdasarkan amalan terbaik atau “Best Forest Practices” yang selari dengan piawaian antarabangsa.
Semoga sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini dapat terus memupuk semangat dan kerjasama setiap pihak dalam memenuhi tanggungjawab memelihara dan memulihara kelesatarian hutan untuk kehidupan manusia dan ekosistem yang lebih baik.