Menteri Besar Incorporated (Perak) telah dijemput untuk menyampaikan perkongsian ilmu berkenaan Advancing Sustainability in Waste Management bersempena program Ekspedisi Enviro Week 1.0 anjuran Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) di Jabatan Kejuruteraan Awam PSIS, baru-baru ini.
Perkongsian tersebut adalah terarah kepada tatakelola dan amalan terbaik MB Inc. Perak dalam mengamalkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab, pendekatan inovatif dan kesan positif yang telah dilaksanakan MB Inc. Perak bagi menjaga kelestarian sumber alam khususnya terhadap aktiviti perlombongan.
Mewakili MB Inc. Perak sebagai penceramah program ialah Penolong Pengurus Amanjaya Global Sdn. Bhd. merangkap Pegawai Perlindungan Sinaran MB Inc. Perak, Ts. Muhammad Amirul Md Noor yang juga mewakili Malaysia bagi seminar dan pembentangan kertas kerja di peringkat antarabangsa antaranya adalah pada International Atomic Energy Agency (IAEA), Jepun dan Institute for Radiation Protection (CIRP), China.
Pada masa sama, Ts. Muhammad Amirul juga turut menyentuh berkenaan pembangunan dan pengurusan sumber alam secara lestari dan mesra alam kepada pelajar-pelajar PSIS dan komuniti yang turut serta dalam program tersebut.
Untuk makluman, MB Inc. Perak menerusi Amanjaya Global Sdn. Bhd. juga telah menerima pengiktirafan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) bagi Anugerah Komitmen Cemerlang Pematuhan di atas pengurusan keselamatan sinaran yang cemerlang, program pemantauan radiologi yang efisien dan pematuhan keperluan perundangan.
Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada seluruh pelajar PSIS dan komuniti setempat sekaligus menyumbang kepada usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan agenda Perlombongan Bertanggungjawab di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.