YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan delegasi Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Kilang Star Group Industries (SGI) di Daegu, Korea Selatan, baru-baru ini.
Selari dengan usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam mempelopori projek perintis NR-REE yang diterajui Menteri Besar Incorporated (Perak), kunjungan ini merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Negeri untuk terus meneroka peluang kerjasama terhadap pembangunan mineral negeri Perak khususnya di peringkat hiliran.
Hadir sama, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SGI, Mr. Kong Kun Seong; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Tuan Loh Sze Yee; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Puan Haliza binti Sipun; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan wakil Ketua Jabatan Negeri.
Untuk makluman, SGI adalah sebuah syarikat terkemuka di Korea Selatan yang menghasilkan produk hiliran unsur nadi bumi REE iaitu ‘magnet kekal’ yang merupakan komponen utama dalam industri automotif berteknologi tinggi.
Semoga dengan kerjasama yang terjalin dalam kunjungan ini dapat membawa negeri Perak ke arah yang lebih maju dan berdaya saing dalam industri mineral, sekaligus dapat mencapai resolusi ideal dalam menjayakan Perak Sejahtera 2030 sepenuhnya.