DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2024 yang telah berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Ketibaan baginda telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubin.
Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen.(B) Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Encik Anuar Zainal Abidin; serta barisan Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Perak.
Sambutan pada tahun ini jelas menggambarkan semangat berbilang kaum yang telah dibanjiri oleh lebih 20,000 masyarakat di negeri Perak yang telah disajikan dengan pelbagai juadah raya.
Pada majlis sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak turut berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan duit raya kepada beberapa penghuni rumah kebajikan anak yatim serta kemudian berkenan beramah mesra dengan pengunjung sambil meninjau suasana majlis pada tahun ini.
Tidak ketinggalan, MB Inc. Perak turut terlibat dalam majlis tersebut dengan berkongsi kemeriahan membuka gerai air minuman dan cendol bersama barisan agensi Kerajaan Negeri lain bagi menyediakan pelbagai juadah raya kepada seluruh masyarakat yang hadir.
Semoga menerusi sambutan majlis pada hari ini dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan, keamanan dan keharmonian di kalangan masyarakat negeri Perak secara menyeluruh.